Seawal usia 6 bulan, sistem penghadaman bayi telah bersedia untuk menerima makanan tambahan selain susu ibu. Ikuti perbincangan tentang memperkenalkan makanan pejal pertama kepada bayi dan perkongsian resepi asas.
“Makanan pertama anak-anak akak semuanya sama tiap kali. Dua jenis saja, Farley’s Rusk yang dicampur susu dan bubur nasi dengan ikan bilis digoreng atau disangan.” ujar Puan Rozita Sahrani, ibu kepada enam orang anak. “Ikan bilis tu campur terus dalam nasi ke?” tanya saya spontan. “Ishh…tentulah tidak. Dikisar dulu sampai halus dan guna bila perlu. Tak pun kisar terus dengan bubur nasinya. Akak buat macam tu sampailah anak-anak boleh makan bubur nasi tanpa dikisar”, jelasnya lagi. Saya hanya tersenyum mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dan faham. Sememangnya menjadi ibu harus kreatif dan inovatif dalam menangani hal anak-anak.
Kali ini, kami bincangkan beberapa perkara tentang makanan pertama bayi dan cadangan menu untuk mereka. Panduan makanan pejal pertama bayi Sebelum pergi lebih jauh kepada beberapa asas penyediaan menu makanan, mari kita lihat beberapa pesanan tentang makanan pertama bayi ini.
• Berikan makanan pejal hanya selepas bayi berusia 6 bulan kerana, antara lain, sistem penghadaman telahpun bersedia ketika ini.
• Berikan makanan pejal 2 – 3 kali sehari.
• Biarkan bayi anda menentukan kuantiti yang dapat diterima pada satu-satu masa.
• Mulakan dengan makanan pejal yang dikisar menjadi puri bersama susu ibu. Buah-buahan dan sayuran yang sesuai termasuk epal, pisang, labu, lobak merah, kentang, bayam dan brokoli.
• Pastikan tiada gula atau garam ditambah pada makanan.
• Berikan satu-satu resepi selama 4 – 7 hari sebelum bertukar resepi lain bagi memastikan bayi anda betul-betul serasi dan tiada alergi terhadap makanan tersebut.
Tidak kurang pentingnya ialah menentukan sama ada si comel telah bersedia untuk mencuba makanan pejal pertamanya. Untuk itu, perhatikan perkara-perkara berikut pada bayi anda. Jika si comel mempunyai tanda-tanda ini, itu bermakna dia sudah bersedia untuk meneroka pilihan makanan selain susu:
• Boleh mengawal lidah dan pergerakan tengkok dengan lebih baik.
• Mula membuat pergerakan mengunyah ke atas-ke bawah.
• Boleh duduk sendiri dengan sokongan yang minimum.
• Suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut.
• Menunjuk minat pada apa yang anda makan.
Berikut beberapa resepi yang di kongsi oleh ibu-ibu berpengalaman, melalui laman web dan temubual:
BUBUR NASI
Bubur nasi kosong yang dikisar halus tanpa tambahan garam mahupun gula adalah pilihan utama kebanyakan ibu-ibu bagi memperkenalkan makanan pejal kepada bayi. Bubur nasi boleh disediakan dengan memasak nasi biasa dan dikisar halus bersama susu atau memasak bubur nasi hingga lembut.
Bubur nasi berlauk ikan bilis, ikan dan isi ayam
Bubur nasi boleh juga dikisar bersama ikan bilis, ikan dan ayam atau bersama sayur-sayuran. Bagi ikan bilis, buangkan kepala dan tahinya terlebih dahulu dan pastikan ianya lembut dengan merendamnya sebelum digoreng atau disangan (goreng tanpa minyak). Ia kemudiannya dikisar kering dan dicampurkan ke dalam bubur nasi. Ikan bilis boleh juga direbus terus bersama bubur nasi. Bagi ikan dan isi ayam, ia harus direbus atau kukus terlebih dahulu sebelum dilecek atau dikisar bersama bubur nasi.
Bubur nasi berlauk sayuran
Bagi sayur-sayuran, perkenalkan sayuran yang memberi rasa manis seperti lobak merah, brokoli dan bayam. Sayur-sayuran boleh dikukus atau direbus terlebih dahulu secara berasingan sebelum dilecek dan dicampur ke dalam bubur nasi atau dikisar bersama bubur nasi.
Bubur nasi puri buah-buahan
Bagi buah-buahan yang lembut seperti pisang dan betik, boleh dilecek dan diberi terus. Untuk buah-buahan yang keras seperti pir dan epal, boleh dikukus sebelum dikisar halus menjadi puri. Sesetengah ibu menambah susu untuk mencairkan dan menambah nasi untuk memekatkan, semasa mengisar.
Akhir sekali, ingatlah ini kali pertama si comel anda merasa makanan baru. Jangan berputus asa untuk mencuba beberapa resepi jika mereka tidak dapat menerima makanan yang diberikan. Juga, jika anda menyusukannya, teruskanlah sehingga usianya dua tahun bagi mendapat manfaat terbaik daripada susu ibu. Sabar adalah kunci kepada segala kebahagiaan.
Zue Mat Amin
- Sms/whatsapp : 017-5915820
- Emel : superbvitaminme@gmail.com
0 comments:
Post a Comment